PENGARUH FAKTOR PERIBADI DALAM KECEMERLANGAN AKADEMIK SISWA GURU KURANG UPAYA PENDENGARAN

Authors

  • Shahrul Arba’iah Othman

Keywords:

kurang upaya pendengaran, Institut Pendidikan Guru

Abstract

Kajian kualitatif ini telah dijalankan untuk mendapatkan maklumat secara mendalam tentang faktor peribadi yang mempengaruhi kecemerlangan akademik siswa guru kurang upaya pendengaran di institut pendidikan guru (IPG). Seramai lapan orang siswa guru yang telah menamatkan pengajian dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Perguruan serta dua siswa guru yang sedang menuntut di IPG terlibat dalam kajian ini. Soal selidik telah di-e-mel kepada setiap peserta. Soal selidik mengandungi soalan tertutup tentang demografi dan sepuluh soalan terbuka antaranya tentang bagaimana peserta menangani masalah yang dihadapi di IPG. Penulisan ini adalah sebahagian daripada kajian yang diusahakan untuk memahami pengalaman dan keperluan siswa guru kurang upaya pendengaran di institusi pengajian tinggi. Cabaran terbesar yang dihadapi oleh semua peserta kajian adalah kesukaran untuk berkomunikasi dengan masyarakat kampus dan masalah komunikasi ini juga menyukarkan mereka mengikuti kuliah. Namun disebabkan oleh faktor-faktor peribadi seperti daya motivasi, sikap, dan pegangan agama semua halangan ini dapat diatasi. Semua peserta kajian mempunyai motivasi intrinsik yang sangat tinggi untuk menyaingi rakan tipikal yang lain. Dapatan juga menunjukkan peserta kajian mengharapkan sokongan daripada pelbagai pihak untuk mereka mengharungi kehidupan di kampus dengan lebih baik. Adalah dicadangkan agar pihak pentadbiran dapat mengadakan lebih banyak aktiviti yang dapat memupuk rasa keprihatinan warga kampus terhadap siswa guru berkeperluan khas. Selain itu pensyarah juga diharap dapat membuat akomodasi terhadap gaya penyampaian di bilik kuliah yang terdapat siswa guru kurang upaya pendengaran.

Downloads

Published

02-08-2017

How to Cite

Shahrul Arba’iah Othman. (2017). PENGARUH FAKTOR PERIBADI DALAM KECEMERLANGAN AKADEMIK SISWA GURU KURANG UPAYA PENDENGARAN. Proceedings of International Conference on Special Education, 2. Retrieved from https://publication.seameosen.edu.my/index.php/icse/article/view/144